Sunday, November 30, 2008

aduyai abg didi ku!! hahaha

Jurugambar Utusan, RTM nyaris lemas
KUANTAN 29 Nov. – ‘‘Bagaikan mati hidup semula.” Demikian gambaran yang diberikan oleh jurugambar Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang nyaris lemas apabila bot yang mereka naiki terbalik akibat dilambung ombak kuat setinggi satu meter hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, jurugambar Utusan Malaysia, Rushdi Salleh (gambar), 26, dan Amzari Jamaluddin, 26, daripada RTM sedang bertugas untuk mengambil gambar sekumpulan anjing laut yang dikatakan berada kira-kira 1.5 kilometer dari pantai Cherating dekat sini sejak Rabu lalu.

Malangnya, bot yang mereka naiki dilambung ombak kuat sebanyak dua kali lalu terbalik menyebabkan kedua-dua jurugambar terbabit hampir lemas sebelum diselamatkan nelayan yang mengemudi bot berkenaan.

Rushdi ketika ditemui berkata, ketika kejadian, dia merasakan ajalnya seolah-olah telah tiba kerana tidak mampu untuk naik ke permukaan air akibat dihempap bot yang terbalik itu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke darat.
‘‘Kali pertama ombak merempuh bot kami dari arah belakang, jurugambar RTM tercampak ke laut tetapi saya dan dua nelayan yang berada di dalam bot berkenaan sempat berpaut pada dinding bot.

‘‘Saya tidak sempat berbuat apa-apa apabila satu lagi ombak kuat memukul bot menyebabkan ia terbalik dan saya terhempap di bawah bot berkenaan,” katanya.

Rushdi memberitahu, ketika berada di dalam air, dia yang memakai jaket keselamatan, menghadapi kesukaran bernafas gara-gara tertelan air laut dan hanya mampu berdoa supaya diselamatkan.
Menurutnya, kira-kira tiga minit kemudian, seorang daripada nelayan terbabit yang turut tercampak, menyelam ke dalam air dan membawanya ke permukaan sebelum kesemua mereka diselamatkan oleh sebuah lagi bot nelayan yang berada di situ.

Sementara itu, Amzari berkata, dia dapat melihat bagaimana ombak setinggi satu meter menerjah bot yang dinaiki mereka dari arah belakang hingga menyebabkan dia tercampak ke laut.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana memakai jaket keselamatan walaupun beberapa kali tenggelam ke dalam air ekoran dipukul ombak kuat sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang lain.

‘‘Selepas selamat, saya rasa seperti mati hidup semula kerana selain tenggelam dan timbul beberapa kali akibat dipukul ombak, kipas bot nyaris terkena kepala saya,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment